Isnin, 10 September 2012

Pengemis vs Gelandangan...

8/9/2012... Pulang dari sekolah lewat petang..
Hujan masih basah di jalanan, namun langkahku atur semakin laju. Ya Allah, janganlah lebat sangat hujan ni, nanti tak sempat sampai di rumah dah terperangkap banjir kilat lagi di tengah-tengah bandar Georgetown.. na'uzubillah!

Sampai di Komtar, mata terus ligat mencari sesuatu.. Perut dah bergendang-gendut tali kecapi, kali ni nak makan di mana lagi?! Argh, yang penting kena cari makanan yang paling cepat siap & mengenyangkan.
Fikir punya fikir... hati cakap nk try resepi baru KFC lah.. Ayam Spicy dengan Kuah Kari Hijau... Hmmm, best juga resepi diorg kali ni.. sampai licin pinggan & ayamnya diratah hingga tinggal tulang...

Baru selesai habiskan hidangan, tiba-tiba mata terpandang sesuatu. Ingatkan pelanggan yang nak keluar dari restoran tapi keadaannya sangat mencurigakan. Di tangan kanannya ada plastik kecil dan di celah ketiaknya dikepit lembaran akhbar yang sudah lusuh. Nampak gaya pakcik ni bukan pelanggan yang biasa ke kedai makanan segera begini..matanya asyik melilau sana-sini mencari sesuatu. Mataku terus memerhatikan tingkah lakunya itu, seakan ada cerita yang bakal mengusik kotak mindaku kali ni..

Ya.. pakcik ni adalah antara gelandangan yang menghuni bandaraya ini. Dia mencari sesuap rezeki walaupun hanya mengutip sisa-sisa makanan dari meja di restoran makanan segera... Ya Allah, adakah ini takdir yang Engkau tetapkan untuknya atau dia hanyalah mangsa dunia kosmopolitan dan materialistik yang menjadi trend kemodenan kini?!..

Dengan susuk tubuh yang masih segar tiada cacat di badan, sepatutnya tenaga empat kerat digunakan sepenuhnya untuk meneruskan kehidupan yang sungguh mendesak di bandaraya begini. Tapi sayangnya, kebolehan itu dipersiakan dan mereka memilih jalan singkat.. sama ada hidup sebagai pengemis atau gelandangan..kedua-duanya sama tapi tak serupa?! Entahlah.. Yang pasti, kedua-dua jenis manusia ini paling aku tidak suka. Pengemis tegar terutamanya... Niat di hati mahu menolong tapi dek kerana segelintir manusia pemalas yang mencari kesenangan hidup melalui paksaan dan kepura-puraan memaksa hatiku dingin untuk berbaik sangka...

Namun hatiku simpati dengan nasib pakcik ni... mungkin kejahilan menyebabkan dia merempat tanpa arah tuju yang pasti. Tiada rumah tiada segala-segalanya sehingga terpaksa mencari sisa-sisa makanan di jalanan. Jauh di sudut hatiku kagum kerana dia masih mampu tersenyum di sebalik kesusahan dan tidak meminta-minta. Masih ada maruah berbanding meminta simpati dengan paksaan seperti pengemis tegar...

"Ya Allah, permudahkanlah kehidupan kami, jauhkanlah keluarga kami daripada kemiskinan, kefakiran & kejahilan serta kekufuran. Kurniakanlah kami rezeki yang halal dan berkat berpanjangan..."

Setelah beberapa ketika aku terleka memerhatikannya, akhirnya pakcik itu berlalu pergi. Mataku masih terlekat pada beg plastik kecil yang pastinya tak pernah lekang dari sisinya selalu... Tegakah aku andainya ditakdirkan ibu bapaku menjadi seperti pakcik ini.. na'uzubillah!

Khamis, 6 September 2012

Kenapa profesion guru jadi pilihanku?!

Zaman dulu-dulu tak pernah bermimpi pun nak jadi cikgu.. tiap-tiap hari aku terbayangkan diriku sebagai penyiasat polis berwibawa... Gara-gara obses dengan drama siri penyiasatan Kantonis yang selalu aku tengok petang hari selepas balik sekolah. Lucu betul bila terkenangkan zaman tu.

Bila dah pandai berfikir sikit, hati mula berkira-kira, nak jadi apa aku bila dah besar nanti?! Argh..peduli la nak jadi apa, yang penting mesti belajar sampai habis universiti, pastu baru fikir semula profesion apa yang aku nak ceburi.. Inilah kesilapanku yang ketara... Belajar tanpa impian yang nyata, tanpa memahami diri sendiri. Mama & Abah sudah pasti inginkan anak perempuannya ini jadi cikgu sebab mudah dapat cuti, senang jaga anak..iyer ker?! Betul jugak..

Bila tengok result PMR ok, teringin pula nak jadi doktor ker, mak bidan ker (angan je lebih pada hal BI aku tin kosong jer..haha)... Bila bagitau Mama nak masuk sekolah aliran sains sebab mudah nak kerja profesion perubatan atau bidang sains yang lain, terus Mama bangkang.. "tak boleh, nanti Mama lambat dapat cucu!".. Ke situ pula pemikiran Mamaku ni. Akhirnya aku pendamkan segalanya dalam hati. "Biarlah dulu impianku itu..Moga suatu masa nanti Allah tunjukkan apa yang terbaik buat diriku.. Biarlah masa yang tentukan."

SPM selamat jua ku tempuhi dengan result yang ok jualah..boleh la untuk memohon ke pusat matrikulasi. Sekali lagi pilihan terpaksa dibuat, nak ikut kawan atau nak ikut pendirian hati. Kalau tak ikut kawan, nanti susah dapat kawan di tempat baru. Kata hati nak cuba pahit maung hidup dan mengenali kawan-kawan baru. Akhirnya ku turut kata hatiku jua. Waktu inilah dunia ku mula berputar di atas orbitnya yang tersendiri, melakar titik-titik kehidupan remajaku yang penuh warna-warni. Aku mula belajar mengenali diri sendiri dan menghargainya sebagai aku yang seadanya.

Dua tahun di pusat matrikulasi, personaliti diriku mula berubah. Kawan-kawan semakin bertambah. Tiba-tiba Allah berikan ku satu peluang keemasan yang tak dapat ku lupakan...pengalaman yang mengubah pendirianku terhadap profesion guru ini. Melalui kenalan Mama, aku disenaraikan sebagai guru ganti di sekolah adik-adikku. Bukan sekadar guru ganti mata pelajaran, merangkap guru kelas juga. Dua bulan aku menggantikan cikgu bersalin di sekolah tu betul-betul mengajar aku pahit manis dunia pendidikan yang kemudiannya menjadi dunia kerjayaku kini.

Dengan mengayuh basikal tua setiap pagi ke sekolah, aku bertatih belajar menjadi cikgu. Berat sungguh rupa-rupanya beban tugas cikgu ni. Nampak mudah jer, pergi sekolah pagi, tengahari dah boleh pulang. Tapi  bertimbun-timbun buku kerja murid yang nak kena semak. Belum lagi semak murid mana yang belum bayar yuran, yang tak bawa alatulis la..macam-macam. Kena pula kelas yang aku pegang sementara tu kelas hujung, murid-muridnya memang macam tiada harapan untuk jadi murid kelas A.

 Apa tidaknya, abjad pun mereka tak kenal, hanya sekadar A..B..C, itu sahaja. Jangan tanya la kira-kira tambah tolak bahagi darab, langsung tiada dalam pengetahuan mereka. Segala-galanya cikgu kena tunjuk langkah. Aku baru je nak mula P&P, mereka pula mula buka gelanggang silat di belakang, sudahnya kelas bertukar jadi kelas silat la plak..aduhai! Patut la mereka tak pandai-pandai, disiplin teruk! Yang paling aku tak jangka, ramai guru-guru memulaukan kelas itu dan langsung tidak masuk kelas gara-gara murid yang terlalu lemah. Dari saat itu, aku mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Kalau guru memilih untuk memberi perhatian yang lebih kepada murid-murid cemerlang sahaja, bagaimana pula dengan nasib murid-murid yang kurang cemerlang?!

Sungguh tidak adil!!!

Maka dari saat itu, hatiku tekad untuk melakukan sesuatu. Aku akan lakukan perubahan. Kali ini hatiku tidak lagi keliru. Kerana kali ini aku sudah mengenali kemahuanku sendiri. Aku akan jadi seorang guru yang mahir dan mampu mengubah anak bangsaku sendiri. Aku ingin membina insan-insan yang berpotensi menjadi manusia beragama dan bertamadun. Tiga tahun selepas tamat pengajianku di universiti dan selepas melalui fasa-fasa kelam dan suram, suka dan duka dalam liku-liku hidup di bandaraya KL, akhirnya Allah makbulkan jua hasrat & doa Mama dan Abah untuk melihatku dikenali sebagai CIKGU! Terima kasih Mama, terima kasih Abah...kerana sentiasa di sisi menjadi tonggak kekuatanku selama ini..dulu, kini & selamanya...