Hujan masih basah di jalanan, namun langkahku atur semakin laju. Ya Allah, janganlah lebat sangat hujan ni, nanti tak sempat sampai di rumah dah terperangkap banjir kilat lagi di tengah-tengah bandar Georgetown.. na'uzubillah!
Sampai di Komtar, mata terus ligat mencari sesuatu.. Perut dah bergendang-gendut tali kecapi, kali ni nak makan di mana lagi?! Argh, yang penting kena cari makanan yang paling cepat siap & mengenyangkan.
Fikir punya fikir... hati cakap nk try resepi baru KFC lah.. Ayam Spicy dengan Kuah Kari Hijau... Hmmm, best juga resepi diorg kali ni.. sampai licin pinggan & ayamnya diratah hingga tinggal tulang...
Baru selesai habiskan hidangan, tiba-tiba mata terpandang sesuatu. Ingatkan pelanggan yang nak keluar dari restoran tapi keadaannya sangat mencurigakan. Di tangan kanannya ada plastik kecil dan di celah ketiaknya dikepit lembaran akhbar yang sudah lusuh. Nampak gaya pakcik ni bukan pelanggan yang biasa ke kedai makanan segera begini..matanya asyik melilau sana-sini mencari sesuatu. Mataku terus memerhatikan tingkah lakunya itu, seakan ada cerita yang bakal mengusik kotak mindaku kali ni..
Ya.. pakcik ni adalah antara gelandangan yang menghuni bandaraya ini. Dia mencari sesuap rezeki walaupun hanya mengutip sisa-sisa makanan dari meja di restoran makanan segera... Ya Allah, adakah ini takdir yang Engkau tetapkan untuknya atau dia hanyalah mangsa dunia kosmopolitan dan materialistik yang menjadi trend kemodenan kini?!..
Dengan susuk tubuh yang masih segar tiada cacat di badan, sepatutnya tenaga empat kerat digunakan sepenuhnya untuk meneruskan kehidupan yang sungguh mendesak di bandaraya begini. Tapi sayangnya, kebolehan itu dipersiakan dan mereka memilih jalan singkat.. sama ada hidup sebagai pengemis atau gelandangan..kedua-duanya sama tapi tak serupa?! Entahlah.. Yang pasti, kedua-dua jenis manusia ini paling aku tidak suka. Pengemis tegar terutamanya... Niat di hati mahu menolong tapi dek kerana segelintir manusia pemalas yang mencari kesenangan hidup melalui paksaan dan kepura-puraan memaksa hatiku dingin untuk berbaik sangka...
Namun hatiku simpati dengan nasib pakcik ni... mungkin kejahilan menyebabkan dia merempat tanpa arah tuju yang pasti. Tiada rumah tiada segala-segalanya sehingga terpaksa mencari sisa-sisa makanan di jalanan. Jauh di sudut hatiku kagum kerana dia masih mampu tersenyum di sebalik kesusahan dan tidak meminta-minta. Masih ada maruah berbanding meminta simpati dengan paksaan seperti pengemis tegar...
"Ya Allah, permudahkanlah kehidupan kami, jauhkanlah keluarga kami daripada kemiskinan, kefakiran & kejahilan serta kekufuran. Kurniakanlah kami rezeki yang halal dan berkat berpanjangan..."
Setelah beberapa ketika aku terleka memerhatikannya, akhirnya pakcik itu berlalu pergi. Mataku masih terlekat pada beg plastik kecil yang pastinya tak pernah lekang dari sisinya selalu... Tegakah aku andainya ditakdirkan ibu bapaku menjadi seperti pakcik ini.. na'uzubillah!


