Bukan mudah rupanya mencipta sesuatu rekaan menarik yang kreatif, elegen dan profesional. Apatah lagi kalau kita jenis yang sentiasa mengambil mudah terhadap sesuatu ilmu yang ada kerana pada anggapan kita, semua itu tidak berapa penting sangat. Biarlah orang-orang tertentu sahaja yang bersusah -payah membuat itu semua.
Namun. saya pula belajar menerima cabaran yang mendatang walaupun sedar diri ini tidaklah sehebat mana. Dua tahun lepas, saya diamanahkan sebagai pereka buku aturcara kejohanan sukan MSS Zon Sapi buat kali pertama. Kebetulan, sekolah kami menjadi tuan rumah, Jadi, PK Kokum amanahkan saya dan rakan-rakan guru yang lain agar buat yang terbaik demi menjaga nama sekolah. Alhamdulillah, segala usaha berbaloi dirasakan apabila JKuasa utama kejohanan memuji buku aturcara yang kami sediakan.
Dan pada tahun ini, sekali lagi saya diamanahkan mereka buku aturcara kejohanan sukan juga, namun kali ini peringkat yang lebih tinggi lagi iaitu kejohanan MSS Daerah Tongod (Telupid). Bangga juga rasanya bila hasil ciptaan mendapat pengiktirafan sebegini. Lebih-lebih lagi buat saya seorang guru agama,...perempuan pula tu!
Kepada rakan guru-guru yang lain, kita tidak sepatutnya cepat mengalah dengan segala kekurangan yang kita hadapi. Mungkin kita rasa sangat mengah mengejar kepesatan dunia teknologi pada hari ini yang sentiasa menjengah dunia harian anak-anak murid kita, namun kita gunalah teknologi itu untuk mendepani segala kemungkinan yang ada. Kerana di situlah segala sumber ilmu yang kita boleh pelajari walaupun hanya mengetik tetikus dan menghadap skrin kosong..Di sana tersedia seribu hikmah dan ilmu buat mereka yang tahu mengambil peluang yang ada...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan